Generasi keempat (2002-2008) Honda City

2008 Honda City (Filipina)

Semasa Ekspo Kereta Antarabangsa Thailand 2002 pada November 2002, City generasi keempat mula ditampilkan, serta turut terdapat dalam versi pacuan empat roda. Model ini diimport dari Thailand dan dilancarkan sebagai Fit Aria di pasaran domestik Jepun[2] bermula 20 Disember 2002. Di Republik Rakyat China, model ini dinamakan Fit Saloon serta dijual bermula September 2003 sehingga Disember 2008.

Pada September 2005, versi yang diperbaharui dilancarkan di Thailand, Malaysia pada Oktober 2005, dan Indonesia pada November 2005; ia dikenali sebagai City ZX di Thailand, India, New City di Indonesia dan Malaysia, serta City di Singapura dan Pakistan. Perubahan paling ketara ialah bahagian luaran (gril baharu, lampu kepala baharu, lampu kabus baharu, lampu belakang baharu serta bampar baharu). Bahagian hadapan dipanjangkan sebanyak 65 mm (2.6 in) manakala bahagian belakang dipanjangkan sebanyak 15 mm (0.6 in). Cermin sisinya boleh dilipat secara elektronik. Kedua-dua model i-DSI dan VTEC menggunakan rim sport aloi 14-inci (360 mm) sebagai komponen piawai. Bahagian dalamannya tidak mengalami perubahan ketara.

Honda City di India, Thailand, Indonesia, Filipina, Pakistan, Singapura dan Malaysia menggunakan transmisi CVT bagi kedua-dua varian i-DSI dan VTEC. Kotak gear CVT turut menghasilkan transmisi tiruan 7 kelajuan dengan butang "paddle shift" bagi menukar gear. Ia merupakan satu inovasi yang jarang didapati pada kereta subpadat dalam kelasnya.